terjah

Sunday, November 27, 2011

cara melepaskan kemarahan

Hakikatnya, dalam menyusuri arus percintaan mahupun perhubungan, kita takkan terlepas dari perasaan marah, sakit hati dan geram terhadap perlakuan mahupun tutur kata si dia. Meskipun perasaan sayang itu dalam namun sebagai insan, kadangkala emosi menyelimuti minda dan hati.

Ada yang lebih suka mempamerkan rasa marah dengan memek muka yang masam, serius. Lantas terus menghemburkan apa saja kata-kata yang terlintas di hati terhadap si dia sebagai tanda puas tanpa mengira orang di sekeliling.

Malah ada juga yang bertindak lebih jauh dengan menaik tangan terhadap pasangan tak kira wanita mahupun lelaki. Tindakan lelaki hingga tahap menampar muka si dia manakala wanita pula lebih selesa melepaskan marah dengan memukul dada dan bahu pasangannya.

Apabila situasi sebegitu terjadi, kadangkala berlaku perang mulut apabila pasangan tidak puas hati dengan tindakan itu dan cuba memberikan penjelasan. Tetapi ada juga pasangan yang lebih selesa membatukan diri dengan hanya melihat aksi si dia melepaskan kemarahan. Ada juga yang bertindak meninggalkan terus pasangan disebabkan amarah yang tidak tertahan.

Berlainan pula situasi ketika pasangan berjauhan. Ada yang mengatakan bagi menunjukkan tanda marah terhadap pasangan, ada yang bertindak mengangkat panggilan telefon dari si dia dan dengan pantas memutuskan talian. Ini agar si dia mengerti ada sesuatu yang tidak kena.

Selain itu, ramai juga yang mengatakan mereka lebih selesa membiarkan telefon berdering dan menyaksikan saja puluhan mesej yang masuk. Dengan cara itu, hati mereka berasa puas dan si dia tahu kondisi yang sedang berlaku.

Namun ada juga yang bertindak mendiamkan diri buat seketika waktu. Setelah kemarahan itu reda dan emosi kembali stabil, barulah bertindak menghubungi si dia. Dalam ertikata lain, memujuk sendiri hati yang terluka. Juga bagi memendekkan cerita selain tidak menjejaskan hubungan yang sedia ada.
Walau apapun cara kita melepaskan kemarahan terhadap pasangan, perlu kita ingat agar mengutamakan kematangan dan kewajaran akal dan fikiran berbanding emosi. Dan jika ianya terjadi di tempat awam, pastikan anda membawa si dia ke satu lokasi yang bersesuaian bagi berbincang tentang isu yang telah membangkitkan kemarahan. 



No comments:

Post a Comment