terjah

Sunday, November 27, 2011

berkongsi kasih

Berkongsi kasih sering digeruni khasnya di kalangan wanita. Hakikatnya, ia menjurus kepada sentuhan emosi yang paling dalam dan menyentuh perasaan, dan rasanya tidak ada di antara wanita yang ingin kasih dan cintanya dibahagi dengan wanita lain.

Namun dalam sesetengah situasi, ketentuan takdir Illahi mengatasi apa jua yang kita ingini dan jika dah tertulis, bagaimana cara pun kita cuba mengelak serta menghalang, ia tetap terjadi jua.

Tetapi sudah semestinya kita perlu terapkan usaha yang padu untuk cuba menghindar serta lari daripada situasi itu daripada menjadi parah. Sebelum berhasrat untuk bertindak lebih jauh lagi, cuba fikirkan daripada aspek lain.

Antaranya, bersediakah kita berdepan dengan reaksi isterinya sebaik mengetahui hubungan yang tercipta? Bagaimana pula dengan penerimaan ahli keluarga sebelah pasangan kita, juga di pihak isterinya dan di pihak keluarga kita sendiri? Adakah ibu, ayah serta ahli keluarga kita boleh menerima hakikat yang kita akan berkahwin dengan suami orang?

Banyak perkara yang perlu kita renung dan fikirkan sedalam-dalamnya sebelum kita membuat keputusan, samaada memilih untuk hidup bermadu atau mengundurkan diri saja demi kepentingan banyak pihak.

Apabila situasi itu berlaku, maka persoalan mula menerjah di minda - adakah kita sanggup korbankan kebahagiaan dan perasaan kita sendiri demi menjaga hati orang lain? Atau adakah perlu kita pentingkan sedikit diri kita sendiri dengan meneruskan hasrat di hati kerana bahagia hanya datang sekali seumur hidup kita?

Jika ketahanan diri kita tidak begitu kuat, pasti kemanisan berkongsi hidup dengannya hanya dapat kita rasakan di awal pernikahan saja. Pelbagai persoalan perlu kita carikan jawapan dan kejujuran diri amat perlu dalam meleraikan segala kesangsian kerana ianya nanti akan menentukan hala tuju rumah tangga yang dibina.

Antaranya, adakah kita akan berasa cemburu jika sewaktu bersama kita, si dia menelefon serta membalas mesej isterinya. Renungkanlah!




No comments:

Post a Comment